17 Pati sanggup berhimpit dalam Toyota Hilux sebelum ditahan anggota PPM di kawasan lampu isyarat Batu 1, Jalan Apas dekat sini, malam tadi. FOTO ihsan PPM
17 Pati sanggup berhimpit dalam Toyota Hilux sebelum ditahan anggota PPM di kawasan lampu isyarat Batu 1, Jalan Apas dekat sini, malam tadi. FOTO ihsan PPM

Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki tempatan yang juga tekong darat ketika membawa 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) jam 8.30 malam tadi.

Malah, ketika ditahan di kawasan lampu isyarat Batu 1, Jalan Apas di sini, warga asing terbabit didapati berhimpit dalam pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, warga asing itu baru tiba dari Sungai Nyamuk, Indonesia melalui jalan laut.

Menurutnya, anggota Unit Risikan Marin (URM) yang sedang menjalankan Ops Gelora Khas/Op Benteng mengekori kenderaan dipandu tekong darat berumur 31 tahun itu dari Batu 4, Jalan Apas sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan menemui sembilan wanita, empat lelaki dewasa, empat kanak-kanak serta bayi lelaki berumur enam bulan hingga 50 tahun.

"Sebahagiannya berhimpit di tempat duduk hadapan dan belakang manakala selebihnya di ruang simpanan belakang kenderaan," katanya pada kenyataan hari ini.

Ridzauddin berkata, kesemua warga asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut manakala Toyota Hilux terbabit disita.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 1:05 PM