Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyasarkan 500 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negara menjelang 2030 bagi meningkatkan kecekapan dan kepantasan operasi menyelamat.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini bomba mempunyai 325 BBP yang beroperasi di seluruh negara.

"Antara 21 kriteria diperlukan bagi pembinaan balai, kita meninjau berapa jumlah bilangan penduduk di sesuatu lokasi, jumlah bangunan komersil, institusi kerajaan, bangunan industri juga kawasan berisiko tinggi, sederhana, rendah.

"Kita juga akan melihat aktiviti di kawasan serta frekuensi panggilan di kawasan itu..berapa banyak panggilan di setiap lokasi berisiko tertentu seperti stesen minyak, hotel.

"Jadi, kita memerlukan 175 balai bomba lagi menjelang 2030 bagi memastikan negara kita maju bukan sahaja material tetapi kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Pengoperasian Post Kawalan Bomba (Fire Post) Pulau Indah, JBPM Selangor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis dan Ketua Pegawai Eksekutif Central Spektrum (M) Sdn Bhd, Mohamad Razif Abdul Wahab.

Mohammad Hamdan berkata, setakat ini bomba sudah membuat 42 permohonan termasuk pembinaan balai bomba, akademi bomba juga pangkalan operasi untuk helikopter bomba, namun hanya satu permohonan diluluskan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyasarkan 500 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negara menjelang 2030.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyasarkan 500 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negara menjelang 2030.

"Banyak lokasi mendesak, kita sudah buat permohonan tetapi hanya satu diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu menaiktaraf BBP Melaka Tengah yang sedia ada.

"Kita masih terus mendesak lagi tetapi kita pun juga akan terus kaedah perolehan lain..dalam 42 itu, 'top 10' yang mungkin kita lihat kritikal (diperlukan) kita akan usaha cara lain, mungkin melalui penswastaan," katanya.

Mengulas mengenai pembinaan Pos Kawalan Bomba (Fire Post) Pulau Indah pula, Mohammad Hamdan berkata ia pos kawalan kekal pertama di Selangor dan menjalankan fungsi sebagai balai bomba.

Pada masa sama, Mohammad Hamdan menzahirkan penghargaan kepada syarikat Central Spectrum Sdn. Bhd. (Central Spectrum) yang menyediakan bangunan pos kawalan dengan caj hanya RM10 setahun.

"Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan. Bomba menyambut baik dan menyanjung tinggi komitmen yang diberikan oleh pihak Central Spectrum.

"Saya yakin kolaborasi strategik seumpama ini dapat memberikan kesan yang positif bagi perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan terutamanya kepada penduduk dan juga pemain industri di kawasan Pulau Indah ini.

"Kita menggalakkan kolaborasi strategik ini dengan pihak swasta lain, kita percaya dan menyarankan syarikat gergasi terutamanya GLC mengambil model ini untuk dicontoh bagi pembinaan pusat kebombaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 4:27 PM