Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam proses menghantar surat permohonan bagi kenaikan pangkat Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, kenaikan pangkat itu akan membantu meringankan beban keluarga Allahyarham yang mempunyai empat anak.

Katanya, kenaikan pangkat juga sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan Allahyarham yang lemas dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat, Melaka pada 20 Oktober lalu.

"Surat permohonan bagi kenaikan pangkat Allahyarham sudah dihantar kepada kementerian (KPKT). JBPM berharap kerajaan dapat pertimbangkan dan meluluskan kenaikan pangkat ini.

"JBPM juga sudah salurkan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga dan empat anak Allahyarham dan kita akan terus membela nasib keluarga Allahyarham.

"Nama Allahyarham juga sudah diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah sebagai mengenang jasanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Johor di sini, hari ini.

Mohammad Hamdan ketika sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Negeri Johor di Hotel Doulbletree by Hilton, Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohammad Hamdan ketika sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Negeri Johor di Hotel Doulbletree by Hilton, Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Hadir sama, Pengarah JBPM Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis dan Timbalannya, Pauzan Ahmad.

Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh meninggal dunia selepas melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Putat, Batu Berendam di sini pada 20 Oktober lalu.

Allahyarham yang berusia 46 tahun itu, bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, sebelum ini dinaikkan pangkat KUP 22 pada Januari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:50 PM