Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tambahan 1,000 kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gred KB19 dan 150 pegawai Gred KB28 serta KB41 akan dibuat segera bagi mengisi kekosongan sedia ada terutama di bahagian operasi.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, usaha sedang dilakukan supaya anggota terbabit dapat menampung kekurangan tenaga di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dan zon di setiap negeri, tahun depan.

Katanya, anggota terpilih akan menjalani kursus di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia selama enam bulan.

"Selepas tempoh itu, mereka akan dihantar untuk penempatan yang biasanya di tempat kritikal yang memerlukan kakitangan ramai serta berkualiti tinggi. Insya Allah kita akan laksanakan pada tahun depan," katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kedah Sayani Saidon dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain.

Pada majlis itu, seramai 60 pegawai dan anggota daripada 19 BBP di Kedah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan 30 orang lain menerima Sijil 30 Tahun Perkhidmatan.

Mohammad Hamdan berkata, penganugerahan sijil itu bagi menyuntik semangat dan motivasi kakitangan JBPM supaya dapat meneruskan tugas mereka.

Katanya, pegawai dan anggota yang berkhidmat hampir 30 tahun atau lebih perlu disantuni untuk memastikan semangat berkhidmat tidak hilang dan lebih bersemangat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 5:10 PM