AWANG Tengah (kanan) ketika menghadiri mesyuarat bersama Kamar Dagang Indonesia di Jakarta. FOTO Ihsan Pejabat Timbalan Premier Sarawak
AWANG Tengah (kanan) ketika menghadiri mesyuarat bersama Kamar Dagang Indonesia di Jakarta. FOTO Ihsan Pejabat Timbalan Premier Sarawak
Mohd Roji Kawi


Kuching: Lintas batas antara Sarawak dan Kalimantan apabila sempadan antarabangsa dibuka semula menjadi isu utama yang dibawakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada mesyuarat bersama Kamar Dagang Indonesia di Jakarta, hari ini.

Selain itu, normalisasi perdagangan di sempadan Sarawak dan Kalimantan serta kepentingan untuk menaik taraf jalan raya bagi meningkatkan mobiliti penduduk antara kedua-dua wilayah turut dibincangkan.

Pejabat Timbalan Premier Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, pada mesyuarat itu, Awang Tengah turut mengalu-alukan lebih banyak kerjasama perniagaan antara Kalimantan dan Sarawak dapat dilaksanakan.

"Selain itu, beliau turut membawa isu berkenaan pemuliharaan alam sekitar antara isu yang dibincangkan," menurut kenyataan itu.

Awang Tengah menghadiri mesyuarat itu bersama delegasi Malaysia yang terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Turut serta, Utusan Khas Kawasan Pembangunan Asean Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Delegasi Malaysia itu turut menghadiri perjumpaan bersama Timbalan Ketua Otorita Ibu Kota Nusantara Dhony Rahajoe.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 4:48 PM