Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261  di Istana Negara hari ini. FOTO BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, telah disembahkan taklimat terkini mengenai kedudukan ekonomi negara, keselamatan, pertahanan negara serta pelantikan baharu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara hari ini yang dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri mesyuarat itu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mempersembahkan taklimat mengenai kedudukan ekonomi negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pula mengenai keselamatan manakala pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

"Perkara mengenai pelantikan-pelantikan telah pun dibincangkan dalam Mesyuarat tersebut, iaitu pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Atasan, Ahli-Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Timbalan Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan juga beberapa perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut berangkat pada mesyuarat itu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah; Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin manakala Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri, sementara Speaker DUN Sarawak diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 4:24 PM