ABANG Johari hadir pada Majlis Apresiasi Gabungan Parti Sarawak hari ini.
ABANG Johari hadir pada Majlis Apresiasi Gabungan Parti Sarawak hari ini.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak mengintai peluang untuk terbabit dalam pembangunan Nusantara, ibu kota baharu Indonesia yang sedang dibangunkan di Kalimantan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ia menerusi pembabitan dalam pembangunan empangan hidro elektrik untuk keperluan pusat pentadbiran baharu Indonesia itu.

"Kita (Sarawak) ada mengemukakan cadangan dan ia sedang dikaji dengan Indonesia untuk membangunkan empangan hidro elektrik di Nusantara.

"Ini bermakna (kejayaan) Sarawak kini semakin melebar hingga ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Apresiasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta tiga Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Abang Johari berkata, apabila cadangan pembinaan empangan hidro elektrik di Nusantara itu diluluskan, bermakna dasar Sarawak diterima dengan baik oleh negara jiran.

Menurutnya, sebelum ini hubungan baik dengan Brunei turut membolehkan banyak kerjasama dalam pelbagai bidang dijalankan bersama negara berkenaan.

"Menerusi kerjasama itu, jaringan jalan raya antara Brunei dan Sarawak akan kita terus bangunkan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memberi sokongan terhadap jalinan kita dengan Brunei," katanya.

Menurutnya, selain hubungan dua negara yang berkongsi sempadan di Borneo itu, Sarawak turut menyumbang kepada Singapura menerusi pembekalan tenaga elektrik ke republik itu.

"Perdana Menteri pun menyokong untuk Sarawak menjual tenaga elektrik ke Singapura dengan maksimum kapasiti 1,000 megawatt.

"Jika ada pelaburan baharu yang datang ke Singapura yang memerlukan tenaga seperti ekonomi baharu, maka Singapura akan mendapatkannya dari Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 10:38 PM