Rina Harun berucap sebelum melancarkan Majlis Pelancaran Geran Keluarga Tunggal PBSMM di Ibu Pejabat Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Jalan Wisma Putra hari ini. FOTO BERNAMA
Rina Harun berucap sebelum melancarkan Majlis Pelancaran Geran Keluarga Tunggal PBSMM di Ibu Pejabat Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Jalan Wisma Putra hari ini. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) memperkenalkan Geran Keluarga Tunggal dalam usaha membantu ketua isi rumah tunggal yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, inisiatif itu menjadi program perintis yang akan dilaksanakan setiap tahun sekiranya mendapat sambutan.

Katanya, sebagai permulaan Geran Keluarga Tunggal itu dijangka bakal memberi manfaat kepada kira-kira 50 ibu atau bapa tunggal yang akan dibimbing untuk menjana pendapatan melalui program keusahawanan.

"Program bantuan kewangan ini bertujuan meringankan bebanan kehidupan kumpulan komuniti yang berpendapatan rendah dan memberi peluang kepada mereka untuk meningkat mata pencarian mereka dengan memulakan perniagaan kecil atau bersesuaian.

"Program ini juga memerlukan peserta berkongsi idea dan konsep bagi projek keusahawanan dan PBSM akan membuat tapisan sebelum menentukan jumlah geran yang akan diberi iaitu antara RM1,000 sehingga RM10,000 maksimum," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran Geran Keluarga Tunggal PBSMM di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kebangsaan PBSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sempena pelancaran geran itu, Shell Malaysia turut memberikan sokongan dana bernilai RM150,000 bagi menjayakan inisiatif yang memfokus kepada ketua isi rumah tunggal terjejas berikutan kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Rina berkata, dana sebanyak RM150,000 itu bakal memanfaatkan bagi 50 keluarga atau ketua isi rumah bagi peringkat permulaan.

Beliau turut menyeru syarikat korporat lain untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu memberi sumbangan melalui PBSM sekali gus memastikan program seumpama ini dapat diteruskan.

Sementara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, permohonan sudah dibuka melalui laman https://bit.ly/gerankeluargatunggal dan pendaftaran dibuka hingga 17 April 2022.

"Program ini memerlukan peserta berkongsi idea dan konsep bagi projek keusahawanan dan PBSM akan membuat tapisan sebelum menentukan berapa keperluan mereka sama ada menerima RM1,000 atau maksimum RM10,000.

"Kita bukan sahaja bagi bantuan kewangan ini, malah kita akan beri pendidikan ekonomi bagaimana untuk menjaga dan membina perniagaan. Permohonan terbuka ketua isi rumah tunggal (ibu atau bapa) di seluruh Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 1:52 PM