DR Jemilah Mahmood melakukan suntikan vaksin COVID-19 kepada Yah Kawi, 95, yang terlantar pada Program Klinik Bergerak PBSM Vaksin Covid-19 di Ampang. FOTO Bernama
DR Jemilah Mahmood melakukan suntikan vaksin COVID-19 kepada Yah Kawi, 95, yang terlantar pada Program Klinik Bergerak PBSM Vaksin Covid-19 di Ampang. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Individu terlantar di rumah di sekitar Lembah Klang akan menerima perkhidmatan suntikan vaksin di rumah oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi program klinik bergerak di bawah inisiatif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Penasihat PBSMM Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, PBSMM menggerakkan pasukannya ke 111 daripada 280 rumah yang dikenal pasti setakat ini sebagai usaha melindungi golongan rentan yang sukar bergerak ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mendapatkan imunisasi.

"Jumlah suntikan bagi satu isi rumah bergantung kepada ahli keluarga (pesakit terlantar) di rumah yang belum disuntik vaksin sebab kita akan melindungi individu terlantar dan juga orang yang mengelilingi mereka.

"Ini adalah satu daripada program PICK. Jadi kalau ada ahli keluarga terlantar di rumah, boleh menghubungi pusat kesihatan berhampiran untuk memberikan butiran diri ahli keluarga yang terlantar. Kita juga ingin wujudkan hotline dan e-mel supaya mereka boleh hantar butiran untuk divaksin di rumah," katanya ketika ditemui pada pelancaran program vaksinasi bergerak kepada pesakit terlantar di katil, di sini.

Beliau berkata, buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar pekeliling kepada klinik kesihatan supaya mengumpul data (pesakit terlantar) dan apabila selesai, ia akan dibahagikan kepada zon yang berbeza di seluruh Malaysia.

Ketika pelancaran program itu hari ini, lima pesakit terlantar dan 13 keluarga daripada lima isi rumah di sekitar Ampang menerima suntikan vaksin oleh sukarelawan PBSMM yang diketuai Dr Jemilah.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam itu berkata NGO lain yang terlibat ialah St John Ambulans Malaysia, Mercy Malaysia, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) atau IMARET, Malaysian Relief Agency dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

Seperti di PPV, individu yang disuntik dikehendaki mengisi borang penilaian daripada doktor dan perlu menandatangani borang persetujuan sebelum suntikan serta pemerhatian kesan sampingan juga dilakukan.

Pengerusi PBSMM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang turut hadir berkata, inisiatif klinik bergerak itu selari dengan sasaran PBSMM untuk memberikan penjagaan kesihatan kepada individu memerlukan dan komuniti yang terancam.

Sementara itu, Dr Jemilah berkata, satu talian bebas dan e-mel khusus akan dibangunkan segera untuk mengenal pasti individu daripada golongan 60 tahun ke atas yang masih belum menerima tarikh vaksinasi.

Ditanya mengenai garis panduan ventilasi dalaman bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 secara dalaman, beliau berkata satu garis panduan menyeluruh berkaitan kualiti udara secara dalaman dijangka diumumkan minggu ini oleh kerajaan.

Beliau berkata kerjasama yang terjalin dengan Akademi Sains Malaysia, KKM dan Kementerian Sumber Manusia, telah menghasilkan garis panduan terperinci mengikut situasi tempat kerja dan bangunan yang berbeza termasuk hospital serta kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 5:43 PM