FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Ahli politik, orang kenamaan dan pegawai tinggi kerajaan kini menjadi sasaran utama sindiket penipuan yang menggodam aplikasi Telegram dan WhatsApp sebelum menyamar rakan untuk meminjam wang.

Modus operandi mereka adalah meminta pertolongan untuk meminjam wang daripada senarai rakan terdapat di aplikasi terbabit.

Sindiket ini didapati menggodam aplikasi berkenaan sebelum menghubungi mangsa secara rawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sebanyak 1,710 laporan diterima pihaknya membabitkan kegiatan itu dengan kerugian RM 11.47 juta sejak 2020 sehingga Februari lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 823 kes dilaporkan berlaku pada 2020 dengan kerugian RM6.19 juta diikuti 2021 iaitu 778 kes dengan nilai penipuan RM4.8 juta.

"Bagi tahun ini pula, sebanyak 109 kes dilaporkan dengan nilai kerugian RM478,016.

"Kebanyakan mangsa tidak menyedari akaun mereka digodam sehingga kenalan di dalam senarai telefon bimbit mereka memaklumkan ada menerima mesej untuk meminjam wang," katanya media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, pengguna telefon pintar diminta lebih berhati-hati apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang meminta kata laluan dihantar ke nombor telefon pengguna.

Beliau berkata, kata laluan itu digunakan untuk mengambil alih akaun aplikasi pesanan daripada mangsa seterusnya akan menggunakan modus operandi menyamar sebagai rakan.

Sehubungan itu, katanya, pengguna dinasihat mengaktifkan dua langkah pengesahan di aplikasi digunakan bagi mengelak aplikasi pesanan digodam sindiket.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 2:35 PM