DATUK Mohd Kamarudin Md Din menunjukkan gambar suspek
DATUK Mohd Kamarudin Md Din menunjukkan gambar suspek
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Menggunakan nama syarikat seakan sama bagi melakukan penipuan transaksi pemindahan wang adalah modus operandi baharu digunakan sindiket penipuan Business Email Compromise (BEC) didalangi warga Nigeria.

Sindiket itu menggodam e-mel syarikat tertentu bagi tujuan memantau urusniaga syarikat berkenaan sebelum menyamar sebagai rakan kongsi perniagaan atau pembekal untuk mendapatkan wang.

Kegiatan sindiket itu dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) selepas menerima laporan kes penipuan BEC membabitkan kerugian lebih RM3.9 juta dan menahan pasangan suami isteri berperanan sebagai keldai syarikat.

Pengarah JSJK Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada wakil syarikat yang dimiliki seorang lelaki warga Emiriah Arab Bersatu di Seremban, Negeri Sembilan, pada 8 Jun lalu.

Menurutnya, pasukan JSJK Negeri Sembilan dengan kerjasama JSJK Bukit Aman yang menjalankan siasatan berjaya menahan lelaki warga Nigeria berusia 43 tahun dan isterinya warga tempatan berusia 41 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Eco Majestic, Semenyih, Selangor, semalam.

"Berdasarkan siasatan, sindiket itu melakukan penipuan terhadap mangsa yang menetap di Dubai membabitkan kerugian RM3.9 juta. Pengadu berurusan dengan Syarikat Oyak Cimento Fabrikalari A.S melalui e-mel untuk pembelian bahan simen berjumlah RM41,000 tan metrik.

"Sepanjang perbincangan dilakukan, pihak penjual menggunakan alamat email [email protected] dan seterusnya pengadu menerima e-mel daripada alamat [email protected] yang mengarahkan pembayaran bagi urusniaga dibuat ke akaun bank milik Syarikat Oyak Cement Fabrikalari Trading di Malaysia.

"Selepas bayaran dibuat, pengadu tidak menerima barangan dijanjikan," katanya dalam sidang media di Pejabat JSJK Menara KPJ di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, pengadu menyedari ditipu selepas membuat semakan lalu melantik peguam di Malaysia untuk membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Berikutan itu, katanya, polis menahan pasangan suami isteri berkenaan dan merampas wang tunai RM1.8 juta disyaki hasil penipuan itu, selain kereta jenis Mercedes Benz S300L, kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, enam telefon bimbit, dua jam tangan, dua komputer riba, 10 unit cop, barang kemas, dokumen serta pelbagai barangan lain.

"Polis masih mengesan baki wang penipuan berkenaan sama ada diserahkan kepada ahli sindiket lain atau sebaliknya," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Untuk rekod, sebanyak 57 kes penipuan BEC dicatatkan membabitkan kerugian RM49 juta sepanjang tahun lalu manakala tahun ini untuk tempoh Januari hingga semalam, sejumlah 23 kes diterima membabitkan kerugian RM15 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 6:22 PM