FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor memberi amaran mengenai modus operandi scammer yang menggodam akaun Telegram mangsanya seterusnya menyamar sebagai rakan sebelum menghubungi mangsa itu melalui aplikasi berkenaan bagi meminjam wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin, berkata modus operandi sindiket penyamaran menggunakan Telegram itu mencatatkan 39 kes setakat 1 Januari hingga Rabu lalu dengan nilai kerugian RM259,450.

Katanya, ia berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang membabitkan 75 kes membabitkan kerugian RM462,368.90.

"Walaupun kes pada tahun ini menunjukkan penurunan namun kes berkenaan masih berlaku dan mencatatkan kerugian besar kepada mangsanya.

"Modus operandi sindiket penyamaran ini adalah dengan menggodam akaun Telegram milik mangsa dan menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh daripada akaun aplikasi itu.

"Sindiket penyamaran itu kemudian menggunakan gambar profil pemilik akaun atau mangsa sebenar yang sebelum memberi mesej kepada rakan mangsa bagi membuat meminjam wang dalam jumlah besar.

"Pemilik akaun sebenar hanya akan menyedari perkara itu apabila akaun Telegram mereka tidak dapat diakses atau menerima panggilan rakan mengenai kesahihan pinjaman wang yang ingin dibuat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Amran mengingatkan orang awam supaya tidak mudah percaya dengan mesej untuk meminjam wang yang diterima daripada rakan dan kenalan mereka apatah lagi individu tertentu.

"Hubungi rakan serta kenalan dahulu menggunakan talian telefon biasa untuk pengesahan dahulu sebelum membuat pembayaran wang apatah lagi jika pembayaran diarahkan dibuat atas nama akaun individu lain.

"Aktifkan penetapan pin keselamatan akaun Telegram masing-masing bagi memastikan keselamatan akaun mereka dapat dipertingkatkan daripada digodam," katanya.

Amran berkata, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 bagi mendapatkan maklumat lanjut atau nasihat berkaitan sindiket berkenaan.

"Gunakan perkhidmatan Semak Mule secara dalam talian bagi membuat semakan sama ada akaun bank atau nombor telefon digunakan itu pernah terbabit dalam jenayah komersil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 9:56 AM