GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menafikan kewujudan modus operandi baharu berhubung penipuan yang dikenali sebagai Sim Swap seperti yang tular di aplikasi Whatsapp.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan maklumat yang tular itu, mangsa akan menerima panggilan dan diminta menekan butang satu.

Menurutnya, telefon mangsa kononnya akan digodam dan diambil alih penjenayah selepas menekan butang itu.

"Seterusnya, penjenayah akan memindahkan semua wang dari mangsa ke akaun lain. Itu semua maklumat palsu dan tiada laporan polis diterima berkaitan modus operandi berkenaan.

"Apa yang kerap berlaku adalah penghantaran fail APK (Paket Pakej Android) kepada pengguna telefon pintar yang mengandungi aplikasi berbahaya.

"Apabila pengguna memuat turun aplikasi itu, ia akan memberi akses kepada penjenayah untuk mendapatkan data mengenai perbankan internet milik mangsa dan kemudian digunakan untuk memindahkan wang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai berhenti menyebarkan maklumat dan berita tidak benar bagi mengelak kegusaran awam.

"Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi CCID Scam Response Centre (Pusat Respon Penipuan JSJK) di talian 03-26101559/1599 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 12:21 AM