Nazdy Harun


Kuala Nerus: Perjalanan berbeza dilalui dua penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk merealisasikan hasrat memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD).

Noor Azliza Che Mat, 46, dari Kampung Nibong, Kuala Terengganu, berkata, dia menghabiskan masa 15 tahun untuk mengejar cita-citanya mendapatkan kelulusan itu.

Katanya, pada 2006 dia melanjutkan pengajiannya di sebuah universiti di Australia, namun hajatnya terbantut berikutan kertas kajian dilakukannya terpaksa ditukar tajuk beberapa kali.

"Selain tajuk kajian ditukar saya mengalami masalah lain apabila perlu membaiki kertas kajian dilakukan.

"Belum sempat menghabiskan PhD di sana UMT kemudian memanggil saya balik untuk berkhidmat di universiti ini," katanya yang juga salah seorang pensyarah di UMT ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UMT ke-19, hari ini.

Menurutnya, setahun kemudian dia mencuba nasib sekali lagi dengan menghantar kajiannya ke universiti di Australia, namun usahanya tidak membuahkan hasil.

Katanya, pada 2016 dia mendapat tawaran membuat PhD di UMT dan usaha dilakukan bersungguh-sungguh kini membuahkan hasil selepas 15 tahun melalui pelbagai cabaran.

Nurulafifah Yahya, 34, dari Muar, Johor, pula berkata, dia menghabiskan masa selama 15 tahun menuntut di UMT sebelum menggenggam mendapat PhD.

"Saya melangkah UMT ketika berusia 19 tahun menuntut dalam jurusan biologi marin dan selepas tamat ijazah sarjana muda saya menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang sains marin.

"Selepas itu saya nekad untuk terus menyambung pengajian di peringkat PhD dalam bidang sama dan pernah bertugas sebagai pembantu penyelidik," katanya yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah.

Katanya, pelbagai pengalaman dilaluinya sepanjang 15 tahun menjadi penuntut kerana memerlukan komitmen tinggi dalam merealisasikan hajatnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 2:38 PM
Noor Azliza, 46 (tengah) bersama bapa, Che Mat Jusoh dan ibunya, Zainab Ahmad kelihatan gembira pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke 19 di Kampus Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
Noor Azliza, 46 (tengah) bersama bapa, Che Mat Jusoh dan ibunya, Zainab Ahmad kelihatan gembira pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke 19 di Kampus Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI