NURUL  Arina Raihan (kiri) pada Majlis Konvokesyen UMT.
NURUL Arina Raihan (kiri) pada Majlis Konvokesyen UMT.

Kuala Terengganu: Walaupun aktif dalam sukan futsal, ia tidak menghalang Nurul Arina Raihan Che Azmi menumpukan perhatian dalam pelajaran sehingga dinobatkan penerima dua anugerah tertinggi pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, kelmarin.

Anak kepada pasangan Che Azmi Yunus, 54, dan Che Aini Omar, 50, itu dipilih menerima Anugerah Pelajaran Diraja dan juga Anugerah Naib Canselor Pusat Pengajian Pembangunan Sosial Ekonomi (PPPSE) atas kecemerlangannya dalam program Sarjana Muda Kaunseling.

Berkongsi detik manis itu, Nurul Arina Raihan, anak kedua daripada empat beradik yang tinggal di Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, berkata, untuk berada di tahap sekarang, pelbagai laluan berliku dan kesusahan terpaksa diharungi memandangkan dia bukan daripada keluarga berada.

“Saya pernah berhenti belajar dan bekerja selepas tamat mengikuti pengajian peringkat diploma di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) dalam jurusan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL). Selama setahun saya bekerja dalam pelbagai bidang bagi mengumpul duit untuk menyambung belajar ke peringkat seterusnya.

“Ayah seorang nelayan dan ibu pula suri rumah dan kerana itu sebolehnya saya tidak mahu menyusahkan mereka untuk membiayai pengajian.

“Berkat doa kedua ibu bapa, saya berjaya mengumpul duit untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya dan pada masa sama duit gaji yang diperoleh itu saya turut meringankan bebanan keluarga,” katanya yang turut menerima anugerah dekan bagi setiap semester sepanjang mengikuti pengajian di UMT.

Menurutnya yang juga kapten pasukan futsal wanita UMT, dia bersyukur kerana penat lelahnya selama ini memberi hasil membanggakan.

“Saya berharap selepas ini saya mampu mengubah nasib keluarga dengan memberi kehidupan lebih selesa kepada mereka,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:07 AM