GAMBAR hiasan. FOTO Perhilitan
GAMBAR hiasan. FOTO Perhilitan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah bersedia untuk mengambil tindakan menembak haiwan liar seperti babi hutan dan kera di Kampung Padang Ubi dan kawasan sekitarnya, sebagai langkah mengurangkan masalah penduduk.

Pengarahnya, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung masalah itu daripada penduduk kawasan berkenaan.

Beliau berkata, penduduk boleh membuat aduan terus kepada pihaknya bagi membolehkan tindakan segera diambil.

"Kita akan mengadakan operasi menembak babi hutan dan kera liar di kawasan itu jika didapati mengancam penduduk.

"Namun, kita akan buat pemeriksaan terlebih dahulu di kawasan kampung berkenaan untuk melihat kesesuaian sebelum operasi menembak dilakukan.

"Ini kerana, kita bimbang sekiranya peluru terkena penduduk kampung terutama kanak-kanak di kawasan itu," katanya dihubungi, hari ini.

Jamalun Nasir berkata, sekiranya langkah untuk menembak tidak sesuai, pihaknya akan memasang perangkap di kawasan yang menjadi tempat haiwan liar itu berkeliaran.

Beliau berkata, bagaimanapun penduduk perlu membuat laporan segera kepada Perhilitan sekiranya merasai jumlah haiwan liar itu makin bertambah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 1:28 PM