Dr Jezamine mengesahkan memfailkan permohonan cerai, bagaimanapun enggan mendedahkan punca perpisahan dengan Harith. Foto IG Dr Jezamine Lim
Dr Jezamine mengesahkan memfailkan permohonan cerai, bagaimanapun enggan mendedahkan punca perpisahan dengan Harith. Foto IG Dr Jezamine Lim

Kuala Lumpur: Isteri kepada pelakon dan pelawak terkenal, Harith Iskander iaitu Dr Jezamine Lim mengesahkan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.

Menurutnya, dia memfailkannya pada sekitar bulan lalu dan tidak menafikan berita terbabit.

"Betul, saya sudah memfailkan cerai. Saya tidak ingat tarikh sebenar permohonan dibuat, tetapi lebih kurang sebulan lalu," katanya.

Namun begitu, Dr Jezamine belum bersedia berkongsi mengenai butiran mengenai masalah melanda rumah tangga mereka. Tiba masa, dia akan kongsi juga.

"Saya tiada komen. Mungkin nanti saya akan ceritakan," katanya.

Mengikut sumber kes perceraian Dr Jezamine dan Harith bakal disebut di mahkamah, bulan ini.

Sementara itu, Harith, 58, ketika dihubungi Harian Metro untuk mendapatkan pengesahan bagaimanapun memilih tidak mengulas lanjut.

"Saya tiada sebarang komen mengenai perkara ini," katanya.

Untuk rekod Harith dan Dr Jezamine, 41, mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, 9.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 1:56 PM