Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang guru disiplin di sebuah sekolah di negeri ini didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan mencederakan pelajarnya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Heirman Ishak, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dalam prosiding kes di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Berdasarkan kertas pertuduhan tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Noor Alif Fitri Anuar, 19, dengan cara menampar muka beberapa kali dan menarik rambutnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik guru di sebuah sekolah di sini, pada 9 Disember 2022, kira-kira jam 11.30 pagi.

Mohd Heirman didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta memohon tarikh sebutan baharu untuk serahan dokumen.

Peguam Nor Azmi Mohd Arif bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan anak guamnya masih berkhidmat sebagai guru serta menanggung dua anak yang masih belajar serta ibu terlantar sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tidak boleh mengganggu mangsa hingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 1:59 PM
Mohd Heirman Ishak (tengah) didakwa sengaja cederakan pelajar lelaki di bilik guru sebuah SMK, dua tahun lalu.-FotoMeor Riduwan Meor Ahmad.
Mohd Heirman Ishak (tengah) didakwa sengaja cederakan pelajar lelaki di bilik guru sebuah SMK, dua tahun lalu.-FotoMeor Riduwan Meor Ahmad.