Alias Abd Rani


Muar: Pelajar sebuah kolej kemahiran di Kluang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar tingkatan empat yang baru beberapa jam dikenali di rumah sewanya, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Nadzer Haqeem, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwa Suainbon.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 16 tahun di sebuah rumah di Mengkibol, Kluang, pada jam 9.30 malam, 21 Jun lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Hukumannya ialah tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pada masa sama, mahkamah juga menetapkan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 1:55 PM