Aizat Sharif


Kangar: Pekerja rencam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu di Padang Besar pada 10 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Fazli Aziz, 36, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Fazli didapati mengedar dadah berbahaya jenis syabu seberat 528,000 gram di kawasan semak Hutan Simpan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Hutan Simpan Mata Ayer Perlis Utara, Padang Besar pada 4 pagi, 10 Januari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan kes berkenaan tidak boleh diberi jaminan.

Mahkamah menetapkan 22 Mac hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pada 15 Januari lalu, polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Perlis yang menggunakan kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM, di sini, sebagai lokasi transit selepas merampas 528 kilogram (kg) syabu bernilai RM19 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 11:49 AM
Tertuduh, Mohd Fazli Aziz (hadapan sekali, berbaju kemeja T warna hitam) dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Kangar sambil diiringi anggota polis bertugas. FOTO AIZAT SHARIF
Tertuduh, Mohd Fazli Aziz (hadapan sekali, berbaju kemeja T warna hitam) dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Kangar sambil diiringi anggota polis bertugas. FOTO AIZAT SHARIF