TAN kiri) dan Ee dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TAN kiri) dan Ee dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Dua warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah seberat 58.6 kilogram (kg), bulan lalu.

Tertuduh yang juga warga Singapura, Tan Xiao Wei, 49, dan Ee Chong Kiat, 36, faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh di hadapan Majistret R Salini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mengedar dadah MDMA dengan berat kasar 58,625 gram di Jalan Anjung 8/1, Taman Horizon Hills, Iskandar Puteri di sini, 10.30 malam, 29 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah disertakan dengan sebatan sehingga 15 kali, jika sabit kesalahan.

Di hadapan majistret yang sama, Tan turut didakwa bagi enam pertuduhan mengedar dan memiliki dadah seberat 13.82 kg.

Bagi empat pertuduhan pertama, Tan didakwa mengedar 13,145 gram dadah MDMA dan methamphetamine, manakala dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan dua pertuduhan memiliki 680 gram ketamin dan nimetazepam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Mutiara 7, Taman Perindustrian Plentong di sini, jam 6.35 petang, 29 Mei lalu.

Manakala, bagi Ee, dia didakwa dengan dua pertuduhan lain iaitu mengedar dadah MDMA berat kasar 74 gram dan memiliki 26.4 gram ketamin di sebuah pangsapuri dekat Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek di sini, jam 3.40 petang, 29 Mei lalu.

Selain Seksyen 39B(1) ADB 1952, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama bagi pertuduhan memiliki dadah yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen yang mengendalikan semua kes itu tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan pertuduhan membabitkan Seksyen 39B ADB 1952.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Afiqah Hambali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Ogos depan sementara menunggu laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 12:28 PM