BEKAS pemain hoki lelaki kebangsaan, Shahrun Nabil Abdullah. -FOTO THT
BEKAS pemain hoki lelaki kebangsaan, Shahrun Nabil Abdullah. -FOTO THT
Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Speedy Tiger perlu memanfaatkan perlawanan persahabatan siri jelajah Eropah dengan sebaik mungkin dalam usaha membentuk pasukan menjadi lebih kuat sekali gus memastikan skuad negara akan layak ke olimpik akan datang.

Bekas pemain hoki lelaki kebangsaan, Shahrun Nabil Abdullah berkata, keputusan yang dicatatkan dalam perlawanan itu bukan ukuran sebenar untuk skuad kendalian Sarjit Singh.

Jelasnya, jika ikut dari segi ranking, sememangnya jurang terlalu jauh antara Malaysia dengan pasukan yang skuad negara bertemu namun pemain perlu menunjukkan bahawa mereka sememangnya layak berada dalam pasukan negara.

"Sekarang jurulatih dalam membentuk semula pasukan baharu untuk merangka perjalanan ke sukan olimpik akan datang (Los Angeles 2028). Dalam persiapan seperti ini sudah pasti jurulatih akan guna pelbagai pemain untuk tengok mana pemain yang boleh main di tahap tertinggi dan sebagainya.

"Kita kena tanya juga pihak pengurusan mungkin mereka sedang menguji pemain, mencari formula baru untuk persiapan olimpik. Kita tidak boleh terus tuding jari dan kalau ikut ranking memang kita jauh," katanya.

Terdahulu skuad hoki negara yang dalam rangka siri jelajah di Eropah mengalami kekalahan besar 1-10 kepada Jerman.

"Pemain perlu tahu apa yang harus dibaiki dan kenapa jurang kita jauh sangat. Itu kegunaan pergi jelajah seperti ini.

Terdahulu, skuad kendalian Sarjit mengadakan tujuh perlawanan persahabatan di Eropah bermula 1 hingga 14 Julai ini dan antara negara yang mereka bertemu adalah pasukan di ranking pertama dunia iaitu Belanda, pasukan ranking ke-3 dunia (Belgium), pasukan di ranking ke-5 dunia (Jerman), pasukan ranking ke-7 dunia (India) dan Kelab Hoki Monchengladbach.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 1:36 PM