Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memasukkan dadah jenis ketamin ke dalam badan, 6 Ogos lalu.

Tertuduh, Frankie Rimong, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, R Salini.

Mengikut pertuduhan, dia memberikan dadah berbahaya jenis ketamin ke dalam tubuh sendiri.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, jam 10.55 pagi, 6 Ogos lalu.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yiew manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh berikutan kesalahan yang dilakukannya tidak menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Shyue Chien memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin yang dikenakan, memandangkan tertuduh yang masih berkhidmat, mempunyai tanggungan empat anak.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM 2,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Oktober depan.

FRANKIE didakwa memasukkan dadah jenis ketamin ke dalam badan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
FRANKIE didakwa memasukkan dadah jenis ketamin ke dalam badan. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 12:15 PM