Noor Hidayah Tanzizi


Pangkor: Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan kepada pihak yang dikesan menaikkan harga tepung tidak bersubsidi menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, meskipun harga tepung tidak bersubsidi tidak dikawal, namun menaikkan harga secara tidak berpatutan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Mungkin (mereka yang sengaja menaikkan harga boleh) dikatakan (melakukan) kesalahan dari segi mencatu, kita ada undang-undang antipencatutan," katanya selepas melancarkan program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya membuat laporan kenaikan harga barang kepada penguat kuasa KPDNHEP bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

KPDNHEP mengambil tindakan kepada pihak yang dikesan menaikkan harga tepung tidak bersubsidi menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini. FOTO ARKIB NSTP
KPDNHEP mengambil tindakan kepada pihak yang dikesan menaikkan harga tepung tidak bersubsidi menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini. FOTO ARKIB NSTP

Sementara itu, mengenai pelaksanaan ReDI di Pulau Pangkor, Alexander berkata, ia penting bagi memberi momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama untuk pemain industri sektor peruncitan.

Beliau berkata, ReDI menggalakkan pemain industri sektor peruncitan sentiasa seiring dengan perkembangan digitalisasi terutama teknologi transaksi pembayaran secara digital dan memastikan transaksi dilaksanakan dalam keadaan selamat dalam norma baharu dan proses kewangan.

"Kementerian mensasarkan 15,000 peniaga di seluruh negara ini menerima manfaat dan turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna. Sehingga 15 Mac tahun ini seramai 3,347 peniaga mengadaptasi program ReDI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 4:01 PM