Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk pelaksanaan fortifikasi zat besi dan asid folik dalam tepung gandum kegunaan am bagi pek satu kilogram yang disubsidi kerajaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, menerusi Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG) itu, kandungan nutrien dalam tepung gandum bersubsidi dipertingkatkan dengan pertambahan zat besi dan asid folik bermula bulan ini.

Menurutnya, ia membabitkan kos tambahan sebanyak lima sen yang ditanggung kerajaan bagi setiap kilogram tepung gandum dengan kuota tepung gandum bersubdsidi masih kekal sebanyak 100,000 tan metrik setahun.

Katanya, KPDNHEP membelanjakan kira-kira RM40 juta setahun untuk PSTG kegunaan am.

"Pelaksanaan fortifikasi tepung gandum kegunaan am ini adalah sejajar dengan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjadikan fortifikasi tepung gandum dengan asid folik dan zat besi secara mandatori sebagai satu intervensi kesihatan awam.

"Ia juga bertujuan menangani masalah kekurangan asid folik dan zat besi dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya ketika Program Lawatan Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Penyerahan Kerusi Roda Untuk PPV Masjid Peradong di Manir di sini, hari ini.

Rosol berkata, harga jualan runcit tepung gandum bersubsidi di pasaran tidak akan berubah dan kekal pada harga kawalan RM1.35 sen sekilogram walaupun terdapat penambahan nutrien dalam kandungan tepung berkenaan.

Katanya, orang ramai boleh memaklumkan kepada pihak kementerian sekiranya terdapat pihak yang menaikkan harga untuk diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 5:47 PM