GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan dasar kawalan dan harga barang keperluan serta meningkatkan penguatkuasaan sedia ada.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penguatkuasaan itu ternyata berkesan, apabila tiada sebarang insiden terputus bekalan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.

Merujuk kepada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) beliau berkata, pakej bantuan berkenaan seimbang dan bertepatan dengan situasi semasa serta dapat menjamin negara untuk menang dalam memerangi Covid-19, demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.

"KPDNHEP amat menghargai keprihatinan kerajaan yang komited membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dengan meneruskan dasar pengawalan harga barangan perlu, antaranya pengekalan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG, yang melibatkan subsidi melebihi RM6 bilion setahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Nanta, kementerian berkenaan merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana menerima cadangan mekanisma pengurusan harga minyak masak tidak bersubsidi, bagi menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu kilogram hingga lima kilogram.

Bagi tujuan itu, KPDNHEP akan bekerjasama dengan kementerian yang terbabit, dalam melaksanakan harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (CPO) dan memastikan harga minyak masak lima kilogram, tidak melebihi RM30 sebotol.

Kementerian itu turut menyambut baik peruntukan tambahan RM1 bilion, bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi dalam pek polibeg 1kg terjamin dan dapat dibeli dengan harga subsidi RM2.50.

Selain itu, kementerian menyokong sepenuhnya Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) dengan peruntukan RM200 juta, bagi perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) serta RM100 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi meningkatkan agenda digitalisasi negara.

KPDNHEP juga sudah lama menggerakkan program digitalisasi, sama ada di peringkat kementerian mahu pun dalam sektor perdagangan pengedaran melalui pelbagai aplikasi seperti ez-Aduan, 'Price Catcher', 'My Sales Tracker', MyHarga, 'Spacedeal', 'Chatbot Sara' dan ReDI.

Nanta berkata, kementerian itu memulakan program imunisasi khusus untuk barisan hadapan ekonomi, supaya negara boleh bergerak ke arah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, apabila semua yang terbabit menjalani imunisasi sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 3:53 PM