BUNG Moktar. FOTO Arkib NSTP
BUNG Moktar. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: UMNO Sabah akan terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meskipun UMNO Pusat membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu sejajar dengan mandat diberikan rakyat kepada GRS yang dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu yang menyaksikan gabungan itu berjaya mengalahkan kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Katanya, pendirian itu turut dinyatakan beliau dalam pertemuan dengan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS dan PN Sabah, Datuk Hajiji Noor pada Rabu lalu.

"UMNO Sabah adalah sebahagian daripada kerajaan GRS dan akan memberi fokus kepada usaha membangunkan Sabah. UMNO Sabah perlu bersolidariti dengan GRS kerana ini penting bagi memastikan janji yang diberikan kepada rakyat dalam PRN lalu dapat ditunaikan.

"Mandat yang rakyat berikan kepada kita untuk menjadi kerajaan perlu dimanfaatkan bagi membangunkan Sabah yang kini agak jauh ketinggalan. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kami dalam GRS untuk membangunkan Sabah sekali gus menjaga kesejahteraan rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendirian UMNO Sabah berhubung keputusan UMNO Pusat menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika ditanya mengenai keputusan Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi, Bung Moktar berkata, Sabah menghormati keputusan itu.

Katanya, UMNO Sabah hanya memutuskan untuk mengikut langkah UMNO Pusat menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN di peringkat persekutuan.

Beliau berkata, selaku Ahli Parlimen Kinabatangan, beliau bersama seorang lagi Ahli Parlimen UMNO di Sabah, iaitu Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), akan menuruti keputusan itu.

UMNO hanya mempunyai dua kerusi Parlimen ketika ini selepas lima bekas Ahli Parlimennya meninggalkan parti pada akhir 2018 untuk menyertai BERSATU.

GRS dibentuk menerusi kerjasama UMNO - Barisan Nasional (BN), PN Sabah dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

PN Sabah terdiri daripada BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS.

Sementara itu, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata beliau memuji pendirian Bung Moktar meneruskan sokongan terhadap kerajaan GRS.

Katanya, keputusan itu mengukuhkan status autonomi UMNO Sabah selain menunjukkan parti itu lebih mengutamakan rakyat negeri ini.

"Kerajaan GRS dipilih secara demokrasi. Kita diberi mandat oleh rakyat yang menolak kerajaan 'pintu belakang' pada tahun lalu.

"Parti pembangkang beberapa kali cuba menggugat kestabilan kerajaan ini tetapi gagal kerana parti yang membentuk GRS memahami bahawa kuasa sebenar terletak di tangan rakyat.

"Sehubungan itu, kita akan terus bekerja keras untuk rakyat, memenuhi janji yang dibuat pada PRN lalu dan membawa Sabah ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 4:05 PM