Yan Ke bersama Lidiya (tengah) hadir di IPD Dang Wangi, hari ini, bagi memberi keterangan berhubung penganjuran Perhimpunan Anti-Peperangan dan #StandWithUkraine di Dataran Merdeka pada 5 Mac lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Yan Ke bersama Lidiya (tengah) hadir di IPD Dang Wangi, hari ini, bagi memberi keterangan berhubung penganjuran Perhimpunan Anti-Peperangan dan #StandWithUkraine di Dataran Merdeka pada 5 Mac lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiga individu termasuk dua rakyat Ukraine dipanggil memberi keterangan, hari ini, berhubung penganjuran Perhimpunan Anti-Peperangan dan #StandWithUkraine di Dataran Merdeka pada 5 Mac lalu.

Tiga individu dipanggil memberi keterangan berkenaan adalah dua wanita warga warga Ukraine, Lidiya Murugan dan Oksana Teroshyna selain aktivis Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Wong Yan Ke.

Mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 1.30 tengah hari tadi untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

Yan Ke berkata, perhimpunan itu dihadiri kira-kira 100 peserta dengan sebahagian besarnya terdiri daripada rakyat Ukraine selain individu tempatan.

"Perhimpunan itu yang bermula jam 7.30 petang berlangsung selama satu jam secara aman dengan dikawal oleh pihak polis.

"Sepanjang perhimpunan itu, tiada insiden tidak diingini berlaku dengan semua peserta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Malah, kami juga mengikut arahan pihak polis yang meminta kami bersurai selepas itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pihak polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan itu seolah-olah perbuatan terbabit adalah satu jenayah.

"Menganjurkan dan menyertai perhimpunan aman anti-perang tidak sepatutnya menjadi satu kesalahan di Malaysia, tetapi kini ia disiasat oleh pihak polis.

"Apatah lagi, perhimpunan ini diadakan bagi membantah peperangan yang berlaku Ukraine dan Rusia dan ia adalah selaras dengan pendirian kerajaan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Lidiya berkata, pihaknya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan kes berkenaan.

"Perhimpunan itu diadakan oleh rakyat Ukraine yang menetap di Malaysia bagi memperjuangkan keamanan negara kami dari perang yang berlaku ketika ini.

"Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi melakukan siasatan kerana kita faham bahawa undang-undang di Malaysia perlu dipatuhi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya memanggil tiga individu terbabit.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 2:49 PM