BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah melarang mana-mana pihak mengadakan perhimpunan di tiga lokasi iaitu di Dataran Merdeka, Kompleks Sogo dan Masjid Jamek, di sini, mulai esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, perintah itu dikeluarkan semalam berikutan terdapat laporan mengatakan satu perhimpunan akan diadakan di ibu negara.

Beliau berkata, perintah itu berkuat kuasa selama seminggu dan polis tidak menerima sebarang notis permohonan bagi mengadakan perhimpunan itu daripada mana-mana pihak mahupun penganjur perhimpunan terbabit.

"Perhimpunan dilaporkan diadakan esok jelas melanggar undang-undang Peraturan 9 (Larangan Berarak) dan 10 (Kawalan Berhimpun) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

Menurutnya sejumlah 1,010 anggota polis akan ditempatkan di sekitar ibu negara bagi menjalankan tindakan pematuhan prosedur operasi standard, selain mengawasi keadaan.

Noor Dellhan berkata, sehubungan itu, enam jalan utama di sekitar Kuala Lumpur akan dilencongkan bermula 7 pagi esok.

"Antara jalan terbabit ialah Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

"Pihak pengoperasian stesen membabitkan Laluan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Keretapi Tanah Melayu Berhad turut akan melaksanakan pemberhentian sementara pengoperasian di beberapa stesen utama dalam kawasan pentadbiran IPD Dang Wangi.

ASISTEN Komisioner Noor Dellhan Yahaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
ASISTEN Komisioner Noor Dellhan Yahaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Beliau berkata, pemberhentian pengoperasian yang akan dilakukan bermula 7 pagi itu membabitkan Stesen Pudu, Stesen Hang Tuah, Stesen Masjid Jamek, Stesen Plaza Rakyat, Stesen Bandaraya dan Stesen Sultan Ismail, Stesen Kampung Baru dan Stesen Dang Wangi bagi perkhidmatan pengangkutan awam LRT.

"Bagi MRT ia membabitkan Stesen Bukit Bintang, Stesen Merdeka, dan Stesen Pasar Seni," katanya.

Beliau berkata, Stesen Medan Tuanku, Stesen Bukit Nanas, Stesen Raja Chulan, Stesen Bukit Bintang, Stesen Imbi, Stesen Hang Tuah, Stesen Maharajalela, Stesen Tun Sambanthan dan Stesen KL Sentral akan turut terbabit dalam pemberhentian itu bagi perkhidmatan Monorel.

"KTMB turut sama terbabit dengan pemberhentian pengoperasian diadakan di Stesen Kuala Lumpur, Stesen Bank Negara dan Stesen Putra," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat kini seramai 16 individu termasuk lima ahli politik dipanggil bagi memberi keterangan berhubung penganjuran perhimpunan itu.

Sebelum ini media melaporkan bahawa satu perhimpunan akan diadakan oleh pihak tertentu bagi menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:02 PM