BERNAMA

Bera: Golongan belia mencatatkan kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi, iaitu hampir 50 peratus daripada 14,308 kes kematian yang direkodkan dalam tempoh dua tahun bermula 2019, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata, nahas jalan raya juga antara penyebab utama kematian di negara ini, dengan purata 4,769 nyawa terkorban setiap tahun dalam tempoh yang sama, dan jumlah kematian belia yang tinggi menjadikan ia cabaran utama kepada pihak penguat kuasa bagi membendung perkara itu.

"Golongan belia mempunyai masa depan yang cerah dan diperlukan negara, tetapi mereka ini yang paling banyak terbabit (kemalangan jalan raya). Lesen memandu seharusnya membantu kita mempermudahkan pergerakan khususnya dalam mencari rezeki. Kita berharap mereka yang memperolehnya dapat berdisiplin semasa menunggang motosikal," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Kompleks Rakan Muda Bera sini hari ini, yang menyaksikan 404 penduduk Orang Asli sekitar daerah ini dipilih untuk mengikuti program itu bagi mendapatkan lesen memandu motosikal pada harga paling minimum.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Bagi membendung kadar kematian akibat kemalangan jalan raya, Ismail Sabri berkata, JPJ akan memperbanyakkan program advokasi dan keterlibatan dengan pihak tertentu bagi memberi kesedaran keselamatan jalan raya, selari dengan hasrat kerajaan mahu mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

Sementara itu, mengulas mengenai BLKM, Perdana Menteri berkata, ia dikhususkan kepada mereka memerlukan seperti golongan B40 dan masyarakat Orang Asli yang mempunyai kesulitan bagi mengikuti kelas di institusi latihan memandu bagi mendapatkan lesen memandu Kelas B2.

"Program ini bertujuan memudahkan kerana kita tahu ada beberapa prosedur yang perlu dilalui bagi mendapatkan lesen. Walau bagaimanapun, ia masih menerapkan latihan dan kursus yang perlu dilalui supaya mereka menjadi penunggang motosikal yang mematuhi undang-undang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong dalam kenyataan yang diedarkan kepada media memaklumkan antara kriteria bagi mengikuti program itu ialah warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan mental serta tiada kecacatan fizikal.

Selain itu, calon juga perlu dipastikan tidak disenarai hitam JPJ atau polis serta belum memiliki sebarang lesen memandu kenderaan.

Ia juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan sejak 1990-an menerusi Program JPJ Bersama Rakyat sebelum ditukar nama kepada Program Satu Komuniti Satu JPJ dan Program Bantuan Lesen Memandu Prihatin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 3:37 PM
PERDANA Menteri berucap pada Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) hari ini. FOTO Bernama
PERDANA Menteri berucap pada Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) hari ini. FOTO Bernama