Foto hiasan
Foto hiasan
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Mayat yang belum dikenal pasti identiti ditemukan rentung dalam sebuah bengkel pertanian kemahiran hidup di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Mers999 pada 6.04 petang seterusnya menghantar satu jentera bersama lapan anggota dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, kita dapati berlakunya kebakaran dalam sebuah bengkel pertanian kemahiran hidup di sekolah berkenaan.

"Pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran sebelum menemukan mayat individu yang sudah rentung.

"Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, kes juga diserah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 10:03 PM