BOMBA memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
Shahrinnahar Latib


LELAKI ditemui rentung dalam kebakaran empat unit rumah kedai yang terletak di tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Bukit Ubi di Kuantan, tengah malam tadi.

Identiti mangsa bagaimanapun belum dikenal pasti dan mayatnya ditemui sebaik sahaja anggota bomba memadamkan kebakaran di salah satu unit yang terbakar.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan jam 12.53 tengah malam.

“Jentera pertama sampai di lokasi pada 12.56 tengah malam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan. Balai bantuan adalah dari BBP Indera Mahkota, BBP Taman Tas dan BBP Gebeng.

“Terdapat satu mayat lelaki ditemui rentung di salah satu bilik sewa di tingkat tiga. Kebakaran dapat dikawal jam 2.04 pagi dan operasi tamatnya sepenuhnya pada jam 5.13 pagi,” katanya.

Mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis dan sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 9:51 AM