GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Karnival Kerjaya MYFutureJobs yang berlangsung hari ini, di Pusat Komuniti Setiawangsa di sini, menerima kehadiran ramai pencari kerja dari sekitar Lembah Klang.

Karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu adalah sebahagian usaha dilakukan bagi membantu individu yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan peluang pekerjaan baharu.

Nuraina Ain Rosli, 24, yang sebelum ini bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat perkhidmatan kurier bersyukur mendapat peluang pekerjaan baharu selepas berhenti kerja Julai lalu.

Nuraina yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari sebuah universiti swasta tidak menyangka percubaannya mencari kerja melalui temuduga terbuka hari ini, membuahkan hasil.

Menurut yang berasal dari Ampang, Selangor, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari kerja termasuk melalui platform secara dalam talian sejak empat bulan lalu namun tidak berhasil apabila tiada panggilan temuduga diterima.

"Baru-baru ini, saya terima kiriman emel berkaitan Karnival Kerjaya MYFutureJobs ini. Saya isi borang memohon jawatan sebagai pengurus dengan beberapa majikan.

"Alhamdulillah, sebaik selesai temuduga, saya diterima bekerja oleh sebuah syarikat francais makanan. Saya cuma perlu menunggu panggilan seterusnya daripada pihak syarikat untuk penempatan kerja," katanya ditemui.

Amira Afiqah Irdina Idris, 25, yang baru berhenti kerja bulan lalu, hadir ke karnival kerjaya itu selepas melihat iklannya di aplikasi Telegram.

"Saya keluar rumah jam 8 pagi tadi dan membuat pendaftaran awal melalui atas talian ketika dalam perjalanan.

"Sekretariat Perkeso cukup banyak membantu untuk menerangkan berkaitan peluang kerjaya yang ditawarkan majikan di sini.

"Saya memohon jawatan penyelia dan selepas melalui sesi temuduga bersama dua majikan, Alhamdulillah saya diterima bekerja," katanya yang menetap di Danau Kota.

Bagi orang kurang upaya (OKU) bisu, Muhammad Rofflie Isharie Shamsuddin, 32, yang menganggur sejak 13 tahun lalu, dia berharap mendapat peluang pekerjaan baharu di karnival berkenaan.

Dia pernah bekerja sebagai pembantu dapur dan bersedia menceburi bidang pekerjaan lain sekiranya diberi peluang oleh majikan.

"Saya lihat peluang kerjaya untuk golongan OKU di negara ini semakin luas seperti karnival hari ini yang turut menyediakan peluang untuk OKU mencari kerja," katanya yang mendapat bantuan Sekretariat Perkeso, Hanafi Ismail, sebagai penterjemah.

Sebanyak 21 majikan, antaranya Secret Recipe Cakes & Cafe Sdn Bhd, CSM Engineering Hardware (M) Sdn Bhd, Malaysia Automotive Robotics And IOT Institute (MARii) dan Projek Belia Mahir menyertai Karnival Kerjaya MYFutureJobs.

Perantis Projek Belia Mahir, Zain Hamizan Abd Razak, 22, berkata, pelbagai bidang pekerjaan ditawarkan kepada belia yang sedang mencari pekerjaan melalui insentif disediakan kerajaan.

Katanya, pihaknya membantu belia mendapatkan peluang kerja yang baik termasuk berkaitan elaun dan penginapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:31 PM