Nurshafika Suhaimi

ISU pengangguran bukan lagi perkara baharu di Malaysia terutamanya sejak pandemik COVID-19 melanda dunia. Bahkan, masalah ini dilihat masih belum menemui jalan penyelesaian.

Berdasarkan statistik Tenaga Buruh, pada suku pertama tahun ini, negara  merekodkan seramai 680,400 orang penganggur.1

Ini termasuk golongan siswazah yang menjadi harapan keluarga masing-masing,  dan sebahagiannya tergolong dalam kelompok kumpulan isi rumah terendah, B40 dan keluarga miskin.

Siswazah, Amira Fitriyana Mohd Hashim, 32, mengakui sukar mencari pekerjaan bersesuaian mengikut kelayakan tahap pendidikan mereka terutama waktu endemik ini.

Amira, yang juga siswazah Sarjana Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, dia pernah bekerja sebagai tutor separuh masa di sebuah universiti swasta untuk menimba pengalaman di samping menampung kos sara hidup.

'Bagaimanapun, saya bersyukur mendapat pekerjaan tetap selepas menerima manfaat daripada Program JaminKerja - Insentif Penggajian (JKIP) yang dilaksanakan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial)," katanya ketika dihubungi.

Katanya, program itu berjaya membantunya untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan tahap pendidikan dan pengalaman yang ada.

"Alhamdulillah saya bersyukur dan berterima kasih kerana dapat tahu program ini melalui media sosial dan juga portal MYFutureJobs sebelum mendapat pekerjaan tetap di Mishu. Banyak syarikat yang membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia lebih-lebih lagi dengan adanya inisiatif seperti JKIP " katanya.

Dalam pada itu, Amira juga berharap agar program sebegini diteruskan dan dipergiatkan lagi bagi membantu ramai graduan, siswazah dan individu yang kehilangan pekerjaan akibat kesan pandemik  untuk memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan bakat dan pengalaman mereka.

Apakah Program JaminKerja - Insentif Penggajian PERKESO?

Mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran negara, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO akan menyediakan kira-kira 300,000 peluang pekerjaan  tahun ini menerusi Program JaminKerja-Insentif Penggajian (JKIP) yang membabitkan peruntukan berjumlah RM2 bilion.

Program ini adalah sebahagian daripada Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan meneruskan usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan menggiatkan pengambilan pekerja melalui Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion dan sasaran 600,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

Program JKIP ini, yang bertujuan menyediakan peluang pekerjaan kepada  pekerja tempatan, membabitkan pemberian insentif kepada majikan yang menggajikan pekerja baharu iaitu  sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan pekerja tersebut bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya.

Bagi pekerja am, ia tertakluk kepada syarat gaji  minima RM1,500 dengan minima kontrak selama 12 bulan. 

Sementara itu, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan mudah terjejas seperti orang kurang upaya (OKU), Orang Asli dan bekas banduan, program tersebut menyediakan insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan pekerja bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya. 

Ini tertakluk kepada gaji minima RM1,500 dan minima 12 bulan kontrak. 

Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan, anda dijemput ke Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung dari 23 hingga 27 Julai 2022, bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Selain sesi temu duga terbuka dan aktiviti khidmat padanan pekerjaan, banyak lagi aktiviti-aktiviti menarik terutamanya untuk para belia diadakan sepanjang ekspo ini. 

YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob akan merasmikan  Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 ini pada 25 Julai 2022. 

Ekspo lima hari itu dijangka menampilkan 1,000 majikan dari pelbagai sektor awam dan swasta termasuk pekerjaan gig dan keusahawanan.

Ia turut menawarkan 30 ribu jawatan kosong untuk diisi oleh pencari kerja dari seluruh Malaysia, khususnya di kawasan Lembah Klang dan sekitarnya.

Antara aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung di karnival ini termasuk e-sukan, program Ideathon, demonstrasi 'cloud kitchen', jualan atas trak makanan (food truck), persembahan pemuzik jalanan (buskers), penerokaan kerjaya, tawaran diskaun saman di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemeriksaan dan saringan kesihatan percuma dan pelbagai lagi. 

Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk motosikal, televisyen, komputer riba dan ketuhar gelombang mikro.

Pendaftaran boleh dibuat mulai sekarang menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair .

Untuk maklumat lanjut, layari laman media sosial rasmi PERKESO, laman sesawang PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi Careline PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau e-mel ke [email protected].

Rujukan 

1.https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_Statement/2022/05.%20MEI/STATISTIK%20TENAGA%20BURUH%2C%20MALAYSIA%2C%20MAC%20%26%20ST1%202022.pdf

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 5:27 PM