GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yakin dapat memenuhi mandat kerajaan untuk menyediakan 55,000 peluang pekerjaan kepada golongan rentan sepanjang perlanjutan Program Jamin kerja-Insentif Penggajian (JKIP).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sasaran berkenaan adalah bagi menyokong matlamat program JKIP mewujudkan sebanyak 300,000 peluang pekerjaan sepanjang 2022.

"Perdana Menteri sudah mengumumkan perlanjutan program JKIP yang tamat tempoh asalnya pada 30 Jun lalu sewaktu merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, pada Isnin lalu.

"Lanjutan program ini akan memberikan tumpuan kepada usaha pengambilan pekerja daripada sektor pelancongan, pekerja yang menggantikan pekerja asing (program Malaysianization), orang kurang upaya (OKU), wanita dan pekerja yang kehilangan pekerjaan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, dengan peruntukan sedia ada, program JKIP sebanyak RM2 bilion di bawah Bajet 2022, sebanyak RM475 juta akan disalurkan oleh Perkeso sebagai insentif kepada majikan mewujudkan peluang pekerjaan dan membuat pengambilan kepada seramai 55,000 pekerja daripada golongan mudah terjejas ini.

"Untuk sepanjang tempoh perlanjutan JKIP ini, syarat permohonan dan kadar insentif kepada majikan serta bantuan mobiliti kepada pekerja yang diambil, kekal seperti sebelum ini.

"Perkeso menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan JKIP ini selama enam bulan lagi sehingga 31 Disember ini. Dengan pengangguran berada pada kadar 3.8 peratus iaitu lebih tinggi berbanding sebelum pandemik melanda, intervensi dan sokongan kerajaan bagi terus merancakkan pasaran buruh negara adalah amat penting," katanya.

Mengulas Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, Mohammed Azman berkata, ia dihadiri hampir 14,000 pengunjung yang rata-rata daripada dalam kalangan pencari kerja pelbagai kategori seperti lepasan sekolah, graduan, penganggur dan pekerja yang ingin mengembangkan kerjaya atau mencari peluang yang lebih baik.

"Ekspo kerjaya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur selama lima hari bermula dari 23 Julai lalu itu mencipta kejayaan apabila membantu seramai 1,712 pencari kerja memperoleh pekerjaan, manakala 10,698 pencari kerja pula berjaya ke peringkat temu duga kedua.

"Ekspo ini adalah karnival kerjaya terbesar yang pernah dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Perkeso, di mana lebih 1,000 majikan daripada pelbagai industri dan perusahaan sosial (social enterprise) mengambil bahagian dengan menawarkan lebih daripada 30,000 peluang pekerjaan.

"Menariknya, peluang untuk pencari kerja menceburi sektor gig dan keusahawanan juga disediakan di ekspo kerjaya ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 3:31 PM