PEGAWAI bomba menjalankan tugas di Pusat Kawalan Bomba di Gunung Keriang, malam ini. FOTO ihsan bomba
PEGAWAI bomba menjalankan tugas di Pusat Kawalan Bomba di Gunung Keriang, malam ini. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga pendaki yang dilaporkan tersesat di atas Gunung Keriang, di sini, masih belum ditemui setakat jam 10 malam ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan pada 5.25 petang memaklumkan tiga lelaki terbabit naik ke atas Gunung Keriang sejak pagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka dilaporkan tidak turun sehingga sekarang.

"Rakan kepada tiga pendaki itu hadir di Balai Polis Anak Bukit Dan memaklumkan ketiga-tiganya berjaya dihubungi namun mereka tersesat jalan dan tidak dapat menemui jalan turun dari gunung itu.

"Bomba kemudian dimaklumkan untuk usaha menyelamat dan mengesan tiga lelaki terbabit yang masih diteruskan pada malam ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung mangsa terkandas di Gunung Keriang pada 4.59 petang.

Beliau berkata, PGO Kedah mengarahkan dua jentera dari BBP Alor Setar ke lokasi kejadian dan semua mangsa dikatakan mendaki gunung itu dari 6 pagi bersama sekumpulan rakan.

Katanya, komander operasi melaporkan terdapat malim gunung turut membantu dalam pencarian awal sebelum ketibaan pihak bomba, namun gagal mengesan ketiga -tiga mangsa setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 11:09 PM