Semua pendaki ditemukan selamat. FOTO ihsan JBPM
Semua pendaki ditemukan selamat. FOTO ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Tiga pendaki yang dilaporkan tersesat di Gunung Keriang di sini sejak semalam ditemukan selamat oleh pasukan penyelamat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua mangsa berjaya dibawa turun sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

Menurutnya, kesemua mereka ditemukan sekitar jam 11.30 malam selepas pencarian dilakukan.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, kesemua pendaki itu ditemukan lemah dalam gua di Gunung Keriang.

Katanya, mereka diberi rawatan awal oleh pihak bomba sebelum dihantar ke hospital.

Media sebelum ini melaporkan tiga pendaki tersesat di atas Gunung Keriang, di sini, masih belum ditemui setakat jam 10 malam tadi.

Rakan kepada tiga pendaki itu hadir di Balai Polis Anak Bukit dan memaklumkan ketiga-tiganya berjaya dihubungi namun mereka tersesat jalan dan tidak dapat menemui jalan turun dari gunung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 8:10 AM