Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki yang keletihan ketika mendaki Gunung Keriang, di sini berjaya dibawa turun pasukan bomba, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas itu pada jam 11.40 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya dari BBP Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nozlan Zakaria tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan mengenai mangsa berusia 25 tahun itu dalam keadaan keletihan dan tidak dapat turun ke bawah gunung melalui talian MERS 999.

"Setibanya di lokasi, didapati mangsa ketika itu berada di 'check point' satu iaitu pada anggaran ketinggian 150 meter dan tidak dapat turun ke bawah kaki gunung akibat keletihan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Naufal berkata, tindakan Pasukan Keluaran Operasi (PKP) adalah dengan naik ke bahagian atas gunung di check point satu itu untuk mendapatkan mangsa dan menstabilkannya sebelum berjaya membawa turun mangsa dengan bantuan anggota.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi disertai 16 anggota bersama dua jentera dan sebuah kenderaan utiliti BBP Alor Setar dan pasukan polis turut menyertai operasi ini," katanya.

ANGGOTA bomba membantu lelaki yang keletihan di Gunung Keriang. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba membantu lelaki yang keletihan di Gunung Keriang. FOTO Ihsan JBPM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 4:27 PM