Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Runtuhan batu berlaku di Taman Rekreasi Gunung Keriang, di sini menyebabkan laluan pejalan kaki tertimbus, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira9.30 pagi, namun belum dipastikan sama ada terdapat mangsa atau tidak.

Berikutan itu, pihak berkuasa termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak memasang sawar-sawar bagi mengelakkan runtuhan terus berlaku.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah, Penguasa Bomba Mohd Naim Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.59 pagi dan tiba di lokasi pada jam 10.09 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota diketuai Timbalan Penguasa Bomba Mohd Helmi Abu Husin bersama sebuah jentera dan EMRS tiba di lokasi untuk meninjau keadaan di situ.

"Polis turut membawa anjing pengesan ke lokasi sekitar jam 3.15 petang untuk meninjau sama ada terdapat mangsa terperangkap di bawah runtuhan atau sebaliknya" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:59 PM