MISHA Kasih.  FOTO Luqman Hakim Zubir.
MISHA Kasih. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Misha Kasih yang maut dalam kebakaran sebuah kilang getah sintetik di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di sini sempat menghubungi ibu angkatnya, ketika kejadian.

Bagaimanapun, panggilan jam 4 pagi itu hanya disedari, Nur Baizura Abu Bakar, 33, dan suaminya, Mohd Ridzuan Mohtar, 36, selepas Subuh sebelum mereka dikejutkan dengan berita kanak-kanak terbabit yang ditemukan rentung atas katil dalam bilik di kilang berkenaan.

Mohd Riduan berkata, Misha sempat menghubungi isterinya kemungkinan kerana panik dan takut serta ingin meminta pertolongan.

"Saya tidur lewat kerana menunggu bekalan air dan langsung tidak sedar panggilan itu serta hanya mendapat tahu berita pemergian anak angkat pagi ini.

"Sebelum itu, dua anak saya yang berusia 10 dan tujuh tahun ada meminta untuk bermalam di kilang itu kerana rumah kami tiada bekalan air namun tidak jadi," katanya.

ANGGOTA bomba mengusung keluar mayat Misha yang ditemukan rentung dalam kebakaran kilang memproses getah sintetik. FOTO Luqman Hakim Zubir.
ANGGOTA bomba mengusung keluar mayat Misha yang ditemukan rentung dalam kebakaran kilang memproses getah sintetik. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Sementara itu, Nur Baizura berkata, dia sudah mengajak anak angkatnya tidur di rumah mereka, namun ditolak kerana Misha bersungguh-sungguh mahu bermalam di bilik tidurnya di premis berkenaan.

"Saya dan suami ada berjumpa dengannya sebelum pulang dari kilang namun Misha tetap berkeras mahu bermalam di situ.

"Bilik Misha di situ memang selesa sebab majikan sudah anggap dia seperti cucu sendiri... ibu kandungnya pernah kerja di sini namun terpaksa pulang ke Indonesia kerana permit tamat tempoh," katanya.

Pemilik kilang, Teoh Son Kok, 70-an berkata, ketika kejadian dia hanya mendengar bunyi letupan kuat dan terus terjaga sambil mencari jalan keluar.

"Ketika itu, keadaan gelap dan saya langsung tidak nampak apa-apa kecuali api yang sedang marak.

"Saya tidak sangka Misha masih ada di dalam dan kami sekeluarga amat sedih dengan kejadian yang berlaku ini," katanya.

Menurutnya, Misha yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Kwang itu dibesarkan dengan baik selain rapat dengan cucunya yang lain.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, kanak-kanak terbabit dipercayai meninggal dunia akibat lemas kerana terhidu asap.

"Ketika kejadian api begitu marak, laluan tangga untuk turun juga terbakar dan ini mungkin menyebabkan tiada akses untuk kanak-kanak itu keluar hingga dia terperangkap.

"Hasil pemeriksaan kita menemui mangsa yang sudah rentung di atas tilam yang hangus terbakar," katanya.

Menurutnya, berdasarkan keterangan daripada saksi kebakaran dipercayai bermula di bahagian pentadbiran yang terletak di hadapan premis berkenaan.

"Seramai 30 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Amanjaya dan Tikam Batu dengan bantuan 15 anggota pasukan bomba sukarela terbabit dalam operasi memadam kebakaran di kilang itu.

"Ketika kejadian, lima ahli keluarga majikan dan dua lagi pekerja termasuk seorang warga Bangladesh turut bermalam di bilik masing-masing dalam kilang terbabit namun semua mereka berjaya diselamatkan," katanya.

Kerugian dianggarkan mencecah RM16 juta membabitkan beberapa premis lain antaranya stor penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) serta kilang berhampiran dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Berita berkaitan:

  • Kanak-kanak rentung, kilang terbakar
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 3:48 PM