KANAK-KANAK rentung dalam kebakaran sebuah kilang memproses getah sintetik di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di sini. FOTO Ihsan JBPM.
KANAK-KANAK rentung dalam kebakaran sebuah kilang memproses getah sintetik di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di sini. FOTO Ihsan JBPM.
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Kanak-kanak perempuan ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah kilang memproses getah sintetik di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di sini hari ini.

Dalam kebakaran jam 4 pagi itu, kanak-kanak terbabit Misha Kasih, 11, ditemukan meninggal dunia di tingkat atas kilang selepas kerja pemadaman dilakukan anggota bomba dan penyelamat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, hasil temubual pengurus kilang terbabit yang berusia 37 tahun mendakwa kejadian berlaku jam 3 pagi dan disedari anaknya yang tidur dalam sebuah bilik di premis berkenaan.

Menurutnya, pengurus kilang memberitahu mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian itu adalah anak angkat keluarga mereka yang dipelihara sejak kecil.

"Ibu kanak-kanak terbabit adalah seorang warga Indonesia dan sudah pulang ke negara asal serta meninggalkan mangsa kepada pengurus kilang berkenaan untuk dijadikan anak angkat.

"Pengurus kilang mendakwa semua dokumen pengambilan anak angkat sudah didaftar di Jabatan Pendaftaran Negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga Melayu sejak kecil untuk dijaga kerana dia beragama Islam dan akan dibawa bermain serta tidur dalam kilang berkenaan bersama anak pengurus terbabit setiap malam.

"Mangsa akan dijemput anak pengurus kilang itu pada sebelah petang dan menghantar semula keesokannya kepada keluarga Melayu berkenaan.

"Ketika kejadian, anak pengurus kilang berjaya menyelamatkan diri manakala kanak-kanak terbabit gagal ditemui dalam keadaan kelam kabut itu," katanya.

Anuar berkata, siasatan lanjut mendapati kilang hasil perusahaan keluarga itu sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu namun terpaksa mengecilkan penghasilan produk serta mengurangkan pekerja akibat pandemik Covid-19.

"Ketika kejadian, kilang terbabit yang hanya mempunyai lapan pekerja tidak beroperasi dan kebakaran memusnahkan hampir keseluruhan kilang termasuk mesin pembuatan dengan jumlah kerugian dianggarkan RM8 juta.

"Setakat ini, punca kebakaran masih belum diketahui sama ada mempunyai unsur khianat atau sebaliknya dan siasatan diserahkan kepada pihak bomba," katanya.

Menurutnya, mayat kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.11 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian api marak dan memusnahkan 80 peratus kilang terbabit menyebabkan usaha menyelamatkan mangsa yang didapati terperangkap sukar dilakukan.

"Kita terpaksa menggunakan 10 pancutan air daripada jentera serta api dapat dikawal jam 5.10 pagi dan mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui di tingkat atas kilang berkenaan jam 7.30 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 11:13 AM