Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Polis mengklasifikasikan kematian dua kanak-kanak dalam kebakaran di Kampung Simpang Tiga, di sini, awal pagi tadi sebagai kematian mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pada 3.53 pagi tadi, pihaknya menerima maklumat berlaku satu kebakaran di sebuah rumah di kampung berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kebakaran berlaku membabitkan tiga rumah dengan sebuah daripadanya hangus.

Katanya, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya lebih kurang sejam oleh pihak bomba.

"Pihak bomba menjumpai dua mangsa di dalam bilik utama salah sebuah rumah iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun," katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Heirme Che Mad di talian 014-2389151 atau 03-61895222.

KEADAAN rumah yang hangus terbakar mengakibatkan Nur Syaza Alfisya bersama adik lelakinya Muhammad Al Qayyum ditemui rentung di Kampung Simpang Tiga. FOTO Hazreen Mohamad
KEADAAN rumah yang hangus terbakar mengakibatkan Nur Syaza Alfisya bersama adik lelakinya Muhammad Al Qayyum ditemui rentung di Kampung Simpang Tiga. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 12:48 PM