KEADAAN kebakaran di Jalan Beserah, Kuantan. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN kebakaran di Jalan Beserah, Kuantan. FOTO Ihsan JBPM
BERNAMA

Kuantan: Lima rumah kedai musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Beserah di sini hari ini, kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani.

Beliau berkata bagaimanapun insiden itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Katanya seramai 24 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Gebeng dan Indera Mahkota bersama tiga jentera, digerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 12.47 tengah malam tadi.

"Anggaran kemusnahan adalah seratus peratus dengan keseluruhan kawasan terbabit 6,000 kaki persegi. Punca kejadian masih lagi dalam siasatan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Ismail, kebakaran berkenaan dapat dikawal pada pukul 2.14 pagi sebelum operasi ditamatkan kira-kira empat jam selepas itu.

Difahamkan, rumah kedai itu adalah premis yang dijadikan bengkel, stor kereta terpakai dan kedai aksesori kenderaan.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati lebih 10 kereta turut musnah akibat kebakaran itu dan pasukan Forensik JBPM sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Pemilik perniagaan kusyen kereta Chua A Tai, 69, berkata beliau dikejutkan dengan panggilan telefon kira-kira 1 pagi oleh rakannya, yang memaklumkan berhubung insiden kebakaran itu.

Katanya segala peralatan seperti mesin dan kain untuk menyiapkan tempahan pelanggan, musnah dalam kebakaran yang mengakibatkannya rugi hampir puluhan ribu ringgit.

"Perniagaan ini dimulakan secara kecil-kecilan sekitar tahun 1984 dan sekarang semuanya sudah tidak ada lagi. Saya serahkan kepada bomba untuk tahu punca kejadian kebakaran ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 12:23 PM