KEADAAN rumah hangus dalam kebakaran.
KEADAAN rumah hangus dalam kebakaran.

Maran: “Saya hanya mampu menangis manakala ayah yang baru pulang dari menoreh getah terduduk akibat terkejut selepas melihat rumah kami musnah dalam kebakaran itu,” kata Khadijah Abdul Ghani, 22, mangsa kebakaran di Kampung Pesagi dekat Chenor, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, dua rumah di kampung berkenaan musnah dijilat api.

Khadijah berkata, ketika kejadian dia bekerja di pasar raya di Temerloh manakala bapanya Abdul Ghani Imam Awang, 77, berada di kebun getah.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas seorang rakan menghubungi saya.

“Sebaik diberitahu, saya segera pulang ke rumah tetapi segalanya sudah terlambat kerana apabila saya sampai, rumah sudah pun hangus,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Gadis itu berkata, akibat kejadian itu keluarganya menanggung kerugian dianggarkan RM100,000.

Katanya, dia dan bapanya kini menumpang sementara di rumah saudara berhampiran.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Arshad Abdullah, ketika dihubungi, di sini, semalam, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.47 tengah hari dan lapan anggota dikerahkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

Menurutnya, kejadian itu membabitkan dua rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 4:39 AM