KEADAAN ruang tamu yang terbakar hingga menyebabkan dua beradik melecur 80 peratus akibat disambar api. FOTO Ihsan JBPM Pulau Pinang
KEADAAN ruang tamu yang terbakar hingga menyebabkan dua beradik melecur 80 peratus akibat disambar api. FOTO Ihsan JBPM Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


DUA beradik melecur 80 peratus badan dalam kejadian kebakaran rumah dua tingkat dekat Jalan Kulim, Machang Bubuk di Bukit Mertajam tengah hari ini.

Ramizi Abdul Razak, 30, dan adiknya, Razmi, 26, terpaksa dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk menerima rawatan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.47 tengah hari mengenai kebakaran berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan berkenaan untuk operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran.

"Ketika tiba di lokasi didapati kebakaran berlaku di ruang tamu tanpa memusnahkan struktur rumah berkenaan yang mana hanya membabitkan beberapa peralatan kediaman terbabit.

"Dua mangsa didapati melecur disambar api dalam kejadian itu yang mana seorang dibawa ke hospital dengan bantuan orang awam manakala seorang lagi dengan bantuan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, dua beradik lelaki itu sedang berehat di ruang tamu sebelum berlaku kebakaran yang memusnahkan beberapa peralatan rumah mereka.

Mangsa yang berada dekat dengan peralatan terbakar itu dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri lalu disambar api.

Kebakaran yang berlaku itu juga berjaya dipadamkan orang awam yang menghulurkan bantuan selepas menyedari insiden berkenaan.

Jelasnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 7:13 PM