KEADAAN motosikal yang musnah terbakar. FOTO IHSAN BOMBA
KEADAAN motosikal yang musnah terbakar. FOTO IHSAN BOMBA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Sudahlah kereta rosak, kini motosikal yang baharu dibaiki pula musnah terbakar," kata Sharifah Norazmi Syed Ahmad, 45, salah seorang pemilik 26 motosikal yang musnah terbakar dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di sini, tengah malam tadi.

Menurut Sharifah Norazmi, kira-kira jam 12 tengah malam tadi dia terdengar jeritan penghuni dan pada mulanya menyangka ada rumah yang terbakar.

"Ketika penghuni sedang kecoh, saya keluar untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku dan nampak kepulan asap di bawah flat tetapi tidak terfikir motosikal yang terbakar.

"Kemudian salah seorang anak memberitahu motosikal kami musnah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran itu hari ini.

Katanya, dia terkilan kerana baharu saja menghabiskan RM200 membaiki motosikal SM Sport yang baru dibeli setahun lalu itu.

"Motosikal itu penting untuk digunakan ke tempat kerja kerana kereta kami rosak dan belum dapat dibaiki," katanya yang bekerja sebagai pembantu perawatan kesihatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran motosikal itu jam 12.47 tengah malam.

"Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 1.06 pagi.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati sebanyak 26 buah motosikal terbakar di mana punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, jika hasil siasatan pihak bomba mendapati wujudnya unsur jenayah yang menyebabkan kebakaran itu, maka siasatan lanjut akan diteruskan oleh pihak polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden kebakaran ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Yeo Chee Meng di talian 017-260 5233 atau Hotline IPD Cheras di talian 03-9284 5050 dan 03-9284 5051 atau menghubungi mana-mana Balai Polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 3:14 PM