Kedai makan milik keluarga Siti hangus terbakar di Jalan Ismail, Senggarang, di sini, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Kedai makan milik keluarga Siti hangus terbakar di Jalan Ismail, Senggarang, di sini, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Essa Abu Yamin


"SEMUA kelengkapan memasak, peralatan elektrik dan barangan untuk berniaga hangus," kata anak kepada pemilik kedai makan, Siti Zubaidah Marsom, 28, yang musnah terbakar di Jalan Ismail, Senggarang, Batu Pahat, tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, menyebabkan punca pendapatan keluarga Siti Zubaidah sejak lebih 10 tahun lalu itu terjejas dalam sekelip mata.

Katanya, dia dimaklumkan kejadian itu oleh pemilik kedai bersebelahan yang datang ke rumahnya dekat sini.

"Kami sekeluarga bergegas ke kedai yang terletak hampir 300 meter daripada rumah namun sebaik sampai kami dapati api sedang marak dan kedai hampir hangus keseluruhannya.

"Tragedi ini begitu menguji buat kami sekeluarga kerana dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami terpaksa menutup kedai dan pendapatan begitu terjejas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Siti, mereka memulakan semula perniagaan pada hari pertama Ramadan tetapi hanya untuk bawa pulang sahaja.

"Walaupun musibah ini amat berat namun kami sekeluarga tetap reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggapnya sebagai hikmah di bulan Ramadan," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.45 tengah malam.

"Seramai 22 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat dan Rengit dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati kebakaran membabitkan sebuah kedai struktur separuh kekal," katanya.

Menurutnya, kebakaran terbabit memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan kedai dan tidak merebak ke bangunan struktur kekal bersebelahan.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kebakaran kemudiannya berjaya dikawal pada jam 2.14 pagi," katanya.

Berita berkaitan

Mujur abang bomba pantas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 1:18 PM