Dr Muhamad Akmal (kanan) memeriksa keadaan seorang mangsa banjir di Kuala Lipis, Pahang.
Dr Muhamad Akmal (kanan) memeriksa keadaan seorang mangsa banjir di Kuala Lipis, Pahang.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Mangsa banjir di negara ini terdedah dengan penyakit bawaan air seperti penyakit kulit dan memerlukan pemeriksaan serta rawatan segera.

Ketua Pasukan Perubatan Pegerakan Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, hasil pemantauan pihaknya di kawasan terjejas di Kuala Lipis Pahang, mangsa banjir di situ memerlukan khidmat doktor bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang jangkitan.

Katanya, persekitaran yang terjejas akibat banjir juga boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit seperti kulat yang mengakibatkan gatal-gatal.

"Dalam program bantuan perubatan selama dua hari berakhir semalam, kita dapati mangsa banjir yang berada di rumah lebih berisiko berbanding yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana mereka tidak dipantau.

"Berbanding yang berada di PPS, mereka berada pemantauan pihak berwajib, jadi lebih mudah untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada Harian Metro.

Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya akan meneruskan misi bantuan di Mersing, Johor hujung minggu ini bagi memberi bantuan kepada mangsa terjejas.

Selain itu katanya, pasukan terbabit turut dianggotai sukarelawan yang akan membantu membersihkan rumjah mangsa banjir bagi meringankan beban ditanggung.

"Insya-Allah kita akan bantu mereka. Setakat ini kita terima penyertaan daripada Pemuda Umno negeri-negeri untuk bersama-sama membantu.

"Kita cuba bantu seramai mungkin. Di Pahang kita bantu kira-kira 250 orang menjalani pemeriksaan, kali ini kita harap lebih ramai lagi dibantu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia adalah semangat keprihatinan Pemuda Umno untuk membantu rakyat dengan kelebihan dan kepakaran yang ada.

"Mereka ini membantu membersihkan rumah mangsa banjir selain rawatan kesihatan kepada orang ramai di kawasan terjejas.

"Kita akan terus bekerja untuk membantu seramai yang mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 10:53 PM