SUKARELAWAN muda, Kierazid menggerakkan misi bantuan pasca banjir sejak hari pertama kejadian lagi
SUKARELAWAN muda, Kierazid menggerakkan misi bantuan pasca banjir sejak hari pertama kejadian lagi
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Melihat bungkusan beg plastik berisi mayat antara pengalaman tidak dapat dilupakan sukarelawan, Muhammad Khairi Mohamed Razid atau dikenali Kierazid ketika menjalankan misi bantuan pasca banjir di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Ia kerana Kierazid, 28, belum pernah berdepan pengalaman itu biarpun pernah menyertai misi banjir di beberapa negeri terjejas, sebelum ini.

Insiden itu tidak melemahkan semangatnya, malah mendorongnya melengkapkan misi penghantaran bantuan kepada mangsa terjejas.

"Saya pernah menyertai misi bantuan banjir beberapa tahun lalu, salah satunya di Kelantan.

"Cuma, pengalaman sebelum ini (Kelantan) agak berbeza dan cabaran di Shah Alam terjadi dengan tiba-tiba dan agak mengejutkan semua.

"Saya sendiri pertama kali menyaksikan mayat mangsa banjir, jadi perasaan ketika itu agak bercampur baur," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kierazid berkata, sejak hari pertama, dia menggerakkan inisiatif bersama beberapa rakan dengan harapan usahanya itu dapat meringankan beban mangsa banjir.

Menurutnya, misi bantuan itu bermula sejak 18 Disember dan bersambung keesokan harinya (19 Disember) hingga minggu lalu.

"Kami bergerak menaiki kenderaan pacuan empat roda dan menyewa lapan kayak bertujuan membantu mangsa terutama yang terperangkap ketika menunggu bantuan sampai.

"Misi berjalan lancar dan saya bersyukur kerana turut mendapat bantuan daripada individu yang bermurah hati menghulurkan sumbangan.

"Lebih mengejutkan apabila hampir RM100,000 diterima hasil sumbangan rakan #NFTJagaRakyat yang diusahakan @NoFutur3_ dan kami gunakannnya untuk perbelanjaan membeli barangan untuk disumbangkan kepada mangsa," katanya yang menggerakkan inisiatif kebajikan menerusi Twitter miliknya, @Roachpunks.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 6:07 PM