NSTP
NSTP
BERNAMA

Melaka: Penulisan wartawan segera atau "wartawan nyamuk" di pelbagai medium terutama media sosial secara semberono boleh merendahkan imej wartawan profesional sedia ada yang selama ini menulis berdasarkan fakta dan mematuhi etika kewartawanan.

Sehubungan dengan itu, Presiden Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) Amir Mamat mencadangkan supaya kerajaan mengambil perhatian serius mengenai kewujudan "wartawan nyamuk" yang ada kalanya menyalahgunakan kebebasan bersuara dan mengganggu imej golongan wartawan profesional.

"Tidak dinafikan agak sukar untuk mengekang 'wartawan nyamuk', namun menerusi hukuman yang sewajarnya ia mampu mengurangkan aktiviti golongan itu daripada terus menulis tanpa etika.

"Jelas, golongan itu sengaja mengambil peluang dengan kebebasan bersuara yang diamalkan kerajaan ketika ini," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Amir berkata Pendika memuji langkah Kementerian Komunikasi melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu dengan menggariskan lapan etika utama antaranya wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Beliau berkata garis panduan berkenaan turut merangkumi pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan serta ketepatan maklumat, dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Katanya selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

"Semua itu sudah diamalkan oleh wartawan tulen berbanding 'wartawan nyamuk', justeru tidak ada sebab tiada tindakan boleh diambil kepada mana-mana pihak yang menulis sesuatu berita tanpa mengamalkan kod etika kewartawanan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pendika menyambut baik cadangan untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia kerana ia mampu membela nasib golongan pengamal media di negara ini khususnya yang berstatus kontrak atau sambilan (stringer).

"Besarlah harapan kami agar kebajikan kumpulan stringer terbela, menerusi cadangan untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada mereka," katanya.

Mengenai penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 pada 25 hingga 27 Mei di Kuching, Sarawak, Amir berkata lima ahli Pendika akan menghadiri sambutan berkenaan yang bertemakan "Etika Teras Kewartawanan Mapan."

Pada 27 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan kemuncak sambutan yang memasuki edisi keempat tahun ini, selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, dan sambutan berikutnya di Melaka (2022) dan Perak (2023).

Pelbagai program dirangka bersempena dengan HAWANA 2024 antaranya Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan "Evolusi Media dalam Era Digital" yang dijangka dihadiri 600 peserta melibatkan penceramah tempatan dan luar negara yang terkenal.

Turut diadakan Program Jelajah Siswa yang merangkumi enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur dan Selatan serta zon Tengah dengan pelancarannya dijadualkan pada 24 Mei ini oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara-negara anggota ASEAN turut dijemput menghadiri HAWANA 2024 yang merupakan platform penting untuk fraterniti media profesional dan pakar industri, bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.

HAWANA 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ialah agensi pelaksana acara tahunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 12:43 PM